Industri dan Penyertaan Bumiputera

Latarbelakang Industri
Terdapat dua kategori industri berasas kayu iaitu industri pemprosesan utama dan industri pemprosesan hiliran. Oleh kerana tiada aktiviti pengusahasilan di negeri Perlis, maka bekalan kayu balak di negeri Perlis telah berkurangan sejak awal 1990 an lagi. Pada masa ini, terdapat hanya sebuah sahaja kilang papan yang beroperasi di Perlis dengan satu gergaji gelong. Namun kilang ini tidak beroperasi sepanjang tahun bergantung kepada pesanan yang diterima atau menerima bekalan balak yang diperoleh dari negeri Kedah dan Perak termasuk kawasan Tanah Berimilik (TB).
 
Masa Depan Industri Berasas Kayu
Melihat kepada situasi semasa, industri berasas kayu di negeri Perlis agak kurang berkembang disebabkan bekalan bahan mentah yang terhad. Sepanjang tempoh 2001-2010, penggunaan kayu balak di Perlis hanya 51 m3. Manakala, bagi tempoh yang sama juga, pengeluaran kayu gergaji di Perlis hanya 37 m3. Walau bagaimanapun perkembangan ini berpotensi untuk meningkat pada masa hadapan sekiranya pihak kerajaan negeri mempertimbangkan pengusahasilan kayu-kayu yang ditanam di Hutan Ladang Jati.
Kekangan terhadap kekurangan bekalan bahan mentah menjadi penghalang di dalam kemajuan industri perkayuan di sekitar negeri Perlis. Kilang yang masih beroperasi boleh berperanan bagi menampung keperluan penduduk tempatan dan juga diguna untuk memproses kayu Jati yang dihasilkan dari hutan ladang. Malahan, kilang ini dapat juga dijadikan pemangkin kepada industri kampung (cottage industry) yang berasaskan pemprosesan dan pemasaran bahan-bahan yang dihasilkan dari kayu Jati.
 
Hasil Hutan Bukan Kayu
Sumber hutan di negeri Perlis begitu terhad termasuklah pengeluaran hasil hutan bukan kayu seperti Buluh, Rotan, Palma, Petai dan buah-buahan hutan. Namun begitu, tumbuhan ubat-ubatan tradisional atau herba adalah alternatif dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dikomersilkan. Inisiatif penanaman herba berpotensi menjadi salah satu aktiviti penting di dalam menyumbang kepada faedah-faedah sosio-ekonomi kepada negeri Perlis. Melalui galakan dan tahap kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat negeri Perlis, JPNPs telah mengambil inisiatif menubuhkan Rimba Herba Perlis dan Spa Rawatan Tradisional Herba. Selain itu, negeri Perlis mempunyai batu kuari di dalam HSK yang menjadi sumber hasil kepada JPNPs. 
 
Industri herba
Tumbuhan herba yang terdapat di negeri Perlis adalah terdiri daripada tumbuhan renek dari pelbagai spesies. Keadaaan cuaca di negeri Perlis yang bersesuaian iaitu dengan musim kemarau yang panjang dan ketara iaitu kurang empat bulan setiap tahun telah memberikan galakan bagi perusahaan tumbuhan herba. Menyedari potensi dan kepentingan industri herba di negeri Perlis, JPNPs telah menubuhkan Rimba Herba Negeri Perlis. Rimba Herba ditubuhkan pada tahun 1998 dengan keluasan 12 ha dan terdiri daripada lebih 1,000 spesies pokok herba. Ia dibuka kepada orang awam pada tahun 1999. Rimba Herba ini berfungsi untuk menempatkan koleksi tumbuh-tumbuhan ubatan yang digunakan khususnya oleh penduduk setempat. Malah, ia juga boleh dijadikan sebuah “muzium” tumbuhan ubatan di mana ianya dibuka kepada pelawat seluruh negara yang ingin mengenali dan mengetahui jenis dan kegunaan tumbuh-tumbuhan ini.

Limpahan keaslian herba ini telah menjadi inspirasi kepada penyelidik untuk mengetahui warisan dan kemujaraban sistem perawatan tradisional yang telah diamalkan oleh nenek moyang sejak ratusan tahun dahulu. Di antara tumbuhan ubatan terkenal yang terdapat di sini ialah Tongkat ali, Kacip fatimah, Cekor, Halia, Serai, Mengkudu, Selasih, Kayu manis dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang lazimnya ditemui di sekeliling rumah seperti Bunga raya, Bunga tahi ayam, Senduduk, Pokok kapal terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan Pisang.

JPNPs secara proaktif telah menjalin kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti R&D seterusnya menubuhkan sebuah pusat kajian berasaskan perubatan alternatif. Seterusnya mempromosikan hasil-hasil kajian bagi mendapatkan sokongan dan penglibatan pihak-pihak usahawan yang berkemampuan untuk melabur modal di dalam melonjakkan lagi industri herba sehingga ke peringkat global.

Adalah diyakini industri herba adalah salah satu perusahaan yang boleh memberi ruang dan peluang kepada penyertaan komuniti kampung melalui penanaman dan pembekalan bahan mentah yang optimum dan berpotensi untuk dimajukan ke peringkat komersil. Lanjutan itu, di masa hadapan Rimba Herba ini dicadangkan untuk dijadikan tapak penyelidikan sains herba di rantau ini. JPNPs akan memainkan peranan besar di dalam mengembangkan keilmuan dalam bidang industri herba melalui kerjasama dengan pihak-pihak universiti (UPM, USM, dll) serta institusi penyelidikan (seperti FRIM, MARDI, dll). Hasil-hasil penyelidikan akan dibawa ke pasaran antarbangsa melalui hubungan dua hala dengan pihak korporat yang terlibat dengan pembuatan dan perniagaan produk herba.

Bancian Laman Web

Bagaimana anda menilai Laman Web kami?

Hubungi Kami

Anda ingin memberi maklum balas atau menyampaikan aduan? Hubungi kami.

  • Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis
  • (+60) 04 9765 966
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Peta Laman | Soalan Lazim
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.


Lihat Artikel mencecah
100382
Top