Rimba Herba Perlis

Rimba Herba Perlis merangkumi kawasan seluas 12 ha dan terletak dalam kawasan H.S. Bukit Bintang. Rimba Herba ditubuhkan oleh JPNPs pada tahun 1998 dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1999. Taman ini kini berfungsi sebagai “muzium etnobotani” dan bank genetik bagi kebanyakan sumber tumbuhan herba yang boleh didapati di negara ini. Antara lain tujuan penubuhan taman ini adalah untuk memperkenalkan tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan kepada masyarakat setempat. Koleksi tumbuhan yang terdapat Rimba Herba terdiri dari tumbuhan liar yang sedia ada di taman ini (in-situ), tumbuh-tumbuhan ubatan yang didatangkan dari tempat lain (ex-situ) dan tumbuh-tumbuhan ubatan yang berasal dari negara lain yang telah lama diperkenalkan di negeri ini. Koleksi di Rimba Herba telah mencapai 1000 spesies. Tumbuhan ubatan yang terdapat di sini ialah Tongkat ali, Kacip fatimah, Cekor, Mengkudu dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang biasa ditemui di sekeliling rumah,tetapi mempunyai nilai perubatan seperti Bunga raya, Bunga tahi ayam, Senduduk, Pokok kapal terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan sebagainya. Rimba Herba berpotensi sebagai “muzium hidup” yang mempamerkan tumbuhan herba tempatan di mana taman ini sangat sesuai dijadikan destinasi kunjungan utama bagi mereka yang ingin mengenali dan mengetahui jenis dan kegunaan tumbuh-tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan. Melalui pengalaman melihat, menyentuh dan menikmati hasil produk tumbuhan herba, secara tidak langsung pelawat-pelawat akan mendapat pengetahuan dan kesedaran tentang kelebihan tumbuhan-tumbuhan herba yang terdapat di negara kita. Antara kemudahan yang ada ialah laluan interpretasi, tandas, wakaf, bangku rehat beserta meja, ruang taklimat, pusat informasi, kiosk cenderahati serta pusat jualan tumbuhan dan produk herba. Taman ini juga turut dilengkapi dengan panel-panel interpretasi untuk memberi maklumat kepada pengunjung.

Antara aktiviti menarik yang boleh dijalankan adalah lawatan berpandu dan lawatan pandu sendiri ke denai alam, rendaman kaki dalam minyak herba, lawatan ke laman orkid dan jualan pokok terutamanya produk herba. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati urutan minyak herba dan mencuba minuman herba yang ditawarkan di sini.

Rimba Herba Perlis dibuka pada setiap hari kepada pengunjung bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Taman ini dikendalikan oleh enam orang pekerja JPNPs.


   
   

Bancian Laman Web

Bagaimana anda menilai Laman Web kami?

Hubungi Kami

Anda ingin memberi maklum balas atau menyampaikan aduan? Hubungi kami.

  • Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis
  • (+60) 04 9765 966
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Peta Laman | Soalan Lazim
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.


Lihat Artikel mencecah
100412
Top