Hutan Ladang Jati
Jati adalah sejenis pokok berdaun luruh dari family Verbenaceae dengan nama botaninya Tectona grandis. Spesis ini berasal dari kawasan Asia monsoon seperti India, Thailand, Myanmar dan Laos. Walau bagaimanapun, spesis ini telah diperkenalkan di merata tempat di seluruh dunia termasuk Papua New Guinea, Indonesia, Malaysia, China, Filipina dan Sri Lanka.
Pokok Jati adalah jenis spesis perintis tetapi dapat hidup sehingga melebihi 200 tahun. Oleh itu ia dapat membesar setinggi hampir 60m dan lilitan melebihi 0.9m. Daunnya lebar dan besar seperti daun tembakau. Antara tanda-tanda pengenalan Jati ialah pengeluaran pewarna merah apabila pucuk mudanya diramaskan. Batang Jati mempunyai kulit luar yang rekah menegak dan berbanir rendah. Bahagian daun dalam berwarna hijau. Pengakaran Jati adalah agak cetek brergantung kepada kepadatan tanah. Kebanyakkan akar terdapat pada kedalaman 1m dan dapat mengembang sehingga 10-15m dari pangkal. Pokok Jati mula berbunga pada umur 3 tahun. Bunga mengambil masa 120 hingga 200 hari untuk membentuk buah. Pada kebiasaannya buah Jati matang diikuti pada bulan Januari setiap tahun. Setiap buah mengandungi antara 1-4 biji benih.
Jati merupakan antara tanaman pokok hutan yang berpotensi bagi dimajukan untuk penghasilan kayu balak bermutu tinggi secara perladangan. Menurut kajian, tidak terdapat perbezaan yang ketara di antara kayu Jati dari hutan asli dan kayu Jati dari ladang. Maklumat lengkap berkenaan pengurusan Ladang Hutan Jati boleh dirujuk pada buku ”A Manual for Forest Plantation Establishment in Malaysia” oleh Krishnapillay (2002). Negeri Perlis yang mempunyai sumber hutan yang sangat terhad merupakan negeri yang pertama di tanah besar yang menanam pokok Jati. Malahan, pokok Jati tertua di tanah besar Semenanjung Malaysia terletak di negeri Perlis. Penanaman bermula sejak tahun 1950-an lagi iaitu berikutan dari penubuhan petak percubaan Jati yang pertama seluas 0.81ha di lembah Sg. Chuchoc, H.S. Mata Ayer pada 15 Ogos 1953. Sejak itu pokok Jati telah terus ditanam di hutan simpan yang sama dan seterusnya di H.S. Rimba Mas-Mas dan H.S. Bukit Bintang. Keluasan ladang Jati di negeri Perlis ialah 625.45ha. Memandangkan tiada lagi kawasan yang sesuai untuk penambahan kawasan ladang, maka pihak JPNPs akan hanya menggunakan kawasan Ladang Jati sedia ada sebagai kawasan perladangan Jati.
Bekalan Kayu dari Pokok Jati Ditanam di Tepi Jalan
Perlis merupakan negeri yang paling banyak menanam pokok Jati sebagai tanaman di kawasan bandar dan ditanam di tepi jalan. Ini adalah kerana kesesuaian iklim dan tanah. Boleh dikatakan Jati sebagai ikon untuk negeri Perlis. Di samping sebagai tanaman pokok tepi jalan, pokok Jati berkenaan berpotensi untuk digunakan sebagai bekalan kayu. Pihak JPNPs bercadang untuk membuat satu kajian yang lebih mendalam bagi mengkaji potensi kayu Jati di kawasan Bandar sebagai sumber bekalan kayu-kayan.
JPNPs bagi pihak Kerajaan Negeri Perlis adalah bertanggungjawab dalam memberi khidmat nasihat dan pengurusan pokok-pokok yang ditanam di tepi jalan termasuk pokok Jati yang ditanam di tepi jalan di seluruh negeri Perlis. Ini adalah bagi memudahkan urusan dan operasi seperti pemilihan stok tanaman, pangkasan, penjarangan/tebangan, kawalan penyakit dan sebagainya. Malahan, pokok-pokok Jati yang ditebang atas faktor usia atau keselamatan boleh dipantau dengan lebih mudah. Manakala, kayunya boleh di guna pakai sebagai hasil tambahan kepada Kerajaan Negeri Perlis. Pihak JPNPs bercadang untuk membuat inventori lengkap pokok-pokok Jati yang ditanam di tepi jalan. Ini adalah bagi mendapatkan data-data semasa status dirian dan anggaran hasil pokok-pokok Jati berkenaan bagi memudahkan pengurusannya.
Satu surat Pelaksanaan Dasar Majlis Perancangan Fizikal Negara bagi Tahun 2012 telah dikeluarkan oleh Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Menurut surat berkenaan, berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 9 Mac 2005 telah menetapkan bahawa pokok-pokok berlilitan 0.8m (atau diameternya 10 inci) tidak boleh ditebang. JPNPs dan agensi-agensi berkaitan akan menandakan pokok-pokok yang tidak boleh ditebang sekiranya kawasan itu hendaklah dibangunkan.