Taman Negeri Perlis

Taman Negeri Perlis merupakan taman negeri yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Malaysia iaitu pada tahun 1997 dan diwartakan pada 3 Julai 2008. Terletak di sebahagian H.S. Mata Ayer dan H.S. Wang Mu dengan keluasan 4,379.81 ha. Taman Negeri Perlis terletak di sebelah barat negeri Perlis dan mengunjur di atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 km) yang dikenali sebagai Banjaran Nakawan.

Keunikan Taman Negeri Perlis bukan hanya pada flora dan fauna yang endemik iaitu pokok Bogak (Cycas clivicola) sejenis tumbuhan zaman purba dan Beruk kentoi (Macaca arctoides) yang masih boleh ditemui di kawasan Taman Negeri Perlis, tetapi termasuk formasi geologi kawasan itu sendiri. Sebahagian besar bukit-bukit batu kapur yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan adalah terdiri daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun. Selain itu terdapat juga tempat-tempat lain yang menarik dan boleh dikunjungi oleh pengunjung di Taman Negeri Perlis seperti Gua Wang Burma, Pekan Pelancongan Wang Kelian, Bukit Pelarit, Bukit Rongkit, Denai Warisan, Denai Putera Denmark, Tasik Meranti, kawasan menara pandang dan Gunung Perlis. Di samping itu, terdapat dua buah penempatan yang berhampiran dengan Taman Negeri Perlis iaitu Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit.

Objektif utama penubuhan Taman Negeri Perlis adalah untuk:
  1. Melindungi proses biologi dan ekologi, termasuk kawasan tadahan air;
  2. Menggalakkan pemeliharaan dan mengekalkan kepelbagaian biologi taman termasuk habitat habitatnya, flora dan fauna, gua dan bukit batu kapur;
  3. Memelihara kawasan yang mempunyai kepentingan tempatan dan antarabangsa;
  4. Membangunkan dan menggalakkan peningkatan peluang pelancongan berasaskan alam semula jadi; dan
  5. Mempertahankan, mengalakkan budaya dan sifat tradisi masyarakat tempatan di persekitaran taman.
Untuk memastikan keselesaan para pengunjung, Taman Negeri Perlis menyediakan kemudahan seperti asrama, dewan seminar, chalet, surau, tandas, wakaf, tapak perkhemahan, menara pandang, dewan terbuka dan kantin. Taman Negeri Perlis menawarkan pelbagai aktiviti, antaranya adalah menjelajah gua, memerhati burung, menjelajah denai, fotografi, intepretasi denai, berjalan malam, berkhemah, pendidikan alam semula jadi dan mendaki gunung. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati suasana dan pemandangan yang menarik daripada sungai dan gua batu kapur yang terdapat di sini.

Taman Negeri Perlis beroperasi sepanjang waktu dan dibuka kepada pengunjung harian pada setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Taman ini dikendalikan oleh lapan orang pekerja dari JPNPs. Pelancong yang ingin ke Taman Negeri Perlis boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas dan teksi.


   
   

Bancian Laman Web

Bagaimana anda menilai Laman Web kami?

Hubungi Kami

Anda ingin memberi maklum balas atau menyampaikan aduan? Hubungi kami.

  • Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis
  • (+60) 04 9765 966
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Peta Laman | Soalan Lazim
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.


Lihat Artikel mencecah
100393
Top